Tuesday, March 3, 2009

TARBIYAH DZATIYAH
Tiada manusia yang sempurna dalam hidup ini, setiap individu pasti mempunyai aib,kekurangan dan dosa, baik kecil mahupun besar. Hanya kita sedar dan tahu akan kesihatan hati kita. Alhamdulillah, hati kita masih punya secebis iman yang peka akan kondisi hati samada sihat ataupun sakit.

Adakah cukup hanya kesedaran? Adakah ia dapat mengubah keadaan hati? Apakah kesudahannya? Justeru itu, kita perlulah mengubati luka-luka dan kotoran di hati yang kita telah kenal pasti dengan rawatan yang sebaik-baiknya sebelum ianya terus membengkak. TARBIYAH DZATIYAH adalah rawatan yang sesuai bagi membina diri sendiri.

Tarbiyah dzatiyah ialah suatu didikan oleh seseorang muslim terhadap dirinya untuk membentuk keperibadian Islam. Bagaimana kita mahu laksanakan tarbiyah dzatiyah tersebut???...


Muslim memulai tarbiyah dirinya dengan melakukan MUHASABAH. “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat).” Ibnu Katsir menafsirkan, hisablah diri kalian sebelum diri kalian dihisab! Lihatlah amal-amal soleh yang telah kalian tabung untuk diri kalian pada hari kembali dan pertemuan kalian dengan Tuhan kalian! Ketahuilah, Allah mengetahui semua perbuatan dan keadaan kalian! Tidak ada sesuatu apa pun pada kalian yang tidak diketahui Allah.” Aspek utama dalam muhasabah adalah menilai kesihatan akidah, bersih dari syirik dan perbuatan yang melemahkan tauhid. Seterusnya, muhasabah diri terhadap amalan iaitu ketaatan kepada Allah, menjauhi larangan-NYA serta amalan-amalan sunat.

Setelah mengadakan muhasabah, maka langkah seterusnya adalah melakukan pembersihan sebelum pengisian ,iaitu TAUBAT dari dosa. Erti kata dosa adalah merangkumi segala maksiat dan lalai dalam memenuhi hak dan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Contoh, lalai mngerjakan solat pada waktunya. Salah seorang generasi salaf berkata: “ Jangan lihat pada kecilnya dosa! Tetapi lihatlah kepada siapa anda bermaksiat!”

Berikutnya, mencari ILMU pengetahuan adalah satu unsur yang penting dalam membina diri, bagaimana mungkin seorang muslim dapat membina dirinya jika tiada ilmu tentang kebenaran dan kebatilan? Perlu diingatkan bahawa tujuan menuntut ilmu hendaklah ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah agar ilmu diterima dan bermanfaat dengan izin-NYA.

Dengan ilmu tersebut dapat melahirkan AMAL. Tidaklah dikatakan seseorang itu bersungguh-sungguh dalam mentarbiyah dirinya sehinggalah dibuktikan dengan amal. Jangan biarkan ibadat menjadi suatu adat kebiasaan yang membosankan seperti robot yang melaksanakan tugas rutinnya. Berusahalah menunaikan ibadat dengan sepenuh hati dan jiwa. Amal ibadat tidak terhad kepada ibadat khusus sahaja, malah merangkumi segala tingkah laku dalam kehidupan seharian. Namun, perbuatan tersebut haruslah berlandaskan syara’ serta diniatkan ikhlas kerana Allah.

Bagi mencapai keperibadian muslim, seseorang individu itu perlulah berAKHLAK seperti yang dianjurkan oleh Islam. Ibnu Rajab berkata, “Akhlak yang baik termasuk muatan takwa dan takwa tidak sempurna kecuali dengannya.”

“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan serta saling menasihati dengan kebenaran dan kesabaran.” Al-Asr. Ayat Al-Qur’an ini tidak dapat direalisasikan kecuali dengan AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR , dalam suasana ukhuwah kerana Allah swt. Tidak cukup sekadar prihatin dan sedih sahaja dengan maksiat yang berlaku. Ingatlah, “ Barangsiapa salah seorang di antara kalian melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah dengan tangannya. Jika ia tidak dapat (merubah dengan tangannya), hendaklah ia (merubah) dengan lidahnya. Jika ia tidak dapat (merubah dengan lidahnya), hendaklah ia merubah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman.” hadis riwayat Muslim.

MUJAHADAH adalah tahap yang paling sukar untuk dilaksanakan tetapi sangat penting dalam tarbiyah dzatiyah. Mujahadah bermaksud apabila seorang Mukmin terseret dalam kemalasan, cinta dunia dan tidak lagi melaksanakan amalan sunat serta ketaatan, maka ia harus memaksa dirinya melakukan amalan sunat lebih banyak dari sebelumnya. Dalam hal ini seorang mukmin haruslah tegas sehinggalah ketaatan tersebut sebati dengan dirinya. Mujahadahlah dengan sabar, sedikit demi sedikit, sesuai dengan kemampuan diri. Ibnu Rajab Al-Hanbali berkata, “Kemuncak mujahadah ialah seseorang itu tidak lalai dalam semua keadaan.” Adakah hasil mujahadah yang kita laksanakan untuk orang lain? Sudah tentu tidak sama sekali kerana segala apa yang kita lakukan itu adalah saham untuk kita. Mengapa masih ada sifat malas dan santai dalam diri kita untuk melaksanakan ketaatan???....

Setelah kita bermujahadah, kita perlu memohon daya kekuatan kepada Allah melalui DOA. Tanpa disedari, kita telah melafazkan kata ikrar seminimumnya 17 kali dalam sehari bahawa “Hanya pada Engkaulah kami menyembah dan hanya pada Engkaulah kami memohon pertolongan”. Tetapi sejauh manakah kita benar-benar bergantung harap HANYA pada-NYA? Fikirkanlah……


Akhirnya, dengan melaksanakan kesemua lapan aspek ini, terbinalah keperibadian muslim dengan izin Allah. Sedarlah… Jika bukan anda yang mentarbiyahkan diri anda, siapa lagi??? Tarbiyah di tangan kamu, dan hanya di tangan kamu sahaja.

Dipetik dari buku tarbiyah dzatiyah