Friday, April 17, 2009

Coretan Teman

Ketika menyelak sebuah majalah keluaran telaga biru halaman demi halaman, terbaca satu ayat yang sangat menyentuh realiti kehidupan:

“Jangan cuba dikawal arah taufan, tetapi kawallah layar kehidupan. Tak perlu diukur dalamnya lautan, tetapi panjangkanlah kail yang sejengkal”

Ayat ini membawa banyak isi yang tersirat, justeru itu, sukalah nak kongsikan bersama sahibah yang lain…. Berdasarkan ayat ini apa yang anda fahami dan ingin dikongsikan bersama? Mari kita lihat beberapa perkongsian yang dapat sahibah-sahibah kita rungkaikan dari ayat ini………

Ku anggap arah taufan sebagai arus jahiliyah. Layar kehidupan itu sebagai bekalan atau senjata diri kita, mungkin iman dan tarbiyah. Dalamnya lautan ku umpamakan sebagai pekatnya jahiliyah yang telah menenggelamkan ramai manusia. Kail pula sebagai usaha-usaha kita, iaitu kerja-kerja dakwah dan tarbiyah. –izzah zaaba-

Apa sahaja yang berlaku atau yang mengubah diri kita daripada yang baik kepada yang tak elok, jangan kita salahkan biah, ataupun kawan-kawan baru yang kita lihat dari luar mereka itu terlalu jahil… tapi carilah kesalahan dari diri kita sendiri yang tak pernah nak pertahankan diri dari segala anasir-anasir jahiliyah, dan hanya membiarkan diri mengikut arus luar… semuanya bergantung atas diri kita sendiri. –masitah mahmad-

Kita tak perlu nak melakukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan, namun kita perlulah fokus kepada apa yang lebih penting yang mampu kita lakukan dengan melakukan satu anjakan paradigma terhadap benda tersebut. Allah tidak akan membebankan hambanya dengan perkara yang tidak dapat dipikul. –husna jamil-

Arus, jahiliyah, realiti… adalah parameter yang tidak dapat kita kawal… jadi sibukkan pada parameter yang dapat kita kawal… dan tak semua perkara kita perlu selesaikan! Buat mana yang termampu… asal lakukan sesuatu… -yusra nordin-

Kita kadang-kadang sebagai manusia sering kali lupa untuk mensyukuri nikmat yang Allah swt berikan…. Mungkin kerana sifat manusia itu yang pelupa. Kita akan sedar betapa sesuatu yang Allah berikan itu sangat berharga bila Dia telah tarik balik dari kita. Kadang-kadang dalam hidup ini tak semua yang kita nak kita dapat tetapi orang yang bahagia ialah orang yang melakukan yang terbaik dalam hal-hal yang hadir dalam hidupnya. Moga Allah sudi kekalkan hati-hati kita di atas jalan NYA. –ijlal md diah-

Kita kerap terpengaruh dengan syaitan dan nafsu, kita sering anggap keperitan dan kepahitan serta kepayahan adalah beban yang menyakitkan dan menyeksakan. Kita rasa Allah tidak adil dan zalim terhadap kita, kerap kita mengeluh dan membuat mimik muka yang keruh, tetapi kita lupa bahawa Allah ada kata setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kita lupa tentang hikmahnya, kita lupa tentang ujian adalah nikmat. Ujian tanda diri kita perlukan Allah. Ketika ujian juga terasa Allah sahaja penggantungan yang kita ada.. Jika berjaya mengatasi nikmat ujian ini, maka Allah akan gantikan dengan nikmat yang lebih baik hingga tidak mampu digambar dengan kata-kata. -fathin fadzil-

Janganlah kita selalu berfikir samada Allah terima atau tidak setiap amal perbuatan yang kita lakukan tetapi kawallah amal perbuatan supaya kita tidak dimurkai oleh Allah. sentiasalah bersangka baik pada Allah dan janganlah mengira akan betapa banyaknya amal yang kita laksanakan tetapi muhasabahlah selalu dalam berapa banyak amal yang kita lakukan kerana Allah swt. -syafiyah adzahar-

Dalam melayari bahtera kehidupan, pasti adanya taufan ujian, yang berada di luar kawalan kita yang hanya sebagai HAMBA, tetapi semuanya adalah di bawah kekuasaan Allah swt sebagai PENCIPTA.Kita sebagai hambaNYA hanya bisa membina kekuatan diri dan mengukuhkan pertahanan diri untuk mengharungi badai yang menimpa dalam pelayaran bagi menggapai redhaNYA. Duhai teman, tiada gunanya kita mengira kejayaan yang telah dicapai, jika kita hanya duduk melihat tanpa berbuat apa-apa. Begitu jugalah dengan umur kita, tiada gunanya jika kita mengira panjangnya umur kita tetapi tidak menambah amal soleh. Muhasabahlah, adakah kita telah mengerahkan segala potensi diri dan tenaga kita untuk mendapat tempat di destinasi yang telah dijanjikan olehNYA bagi orang-orang yang beriman. Ingatlah teman, walaupun kita tidak bisa mengawal taufan, kita masih diberi ruang untuk memohon pada sang pencipta taufan tersebut untuk memohon kekuatan dan pertolongan. Hanya padaNYA sahaja kita layak untuk meminta dan merayu.
Ayuh teman!!! bangkit semula meneruskan layar kehidupan yang kita tak tahu panjangnya.

No comments: