Salam Aidil Adha 1431
Segalanya memerlukan pengorbanan, hatta nak menjamah makanan yang merupakan perkara yang remeh pun memerlukan pengorbanan iaitu pengorbanan masa. Apatah lagi dalam melaksanakan ibadah kepada Allah swt dan tugas khalifah di atas muka bumi ini sememangnya memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Firman Allah swt dalam surah Al-Asr yang berbunyi:
" Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang beriman dan mengerjakan kebaikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran" (Al-Asr 1-3)
Kita akan sanggup mengorbankan segalanya hanya kerana sesuatu yang kita cintai. Sebagai contoh, kita akan membelanjakan wang ringgit dan masa lapang yang kita ada untuk hobi dan minat kita.
Seorang srikandi Islam, Ummu Imarah Nusaibah Al-Anshary. Dia merupakan seorang perawat luka tentera Islam di medan Uhud, tetapi dia mengorbankan dirinya apabila dia nampak Rasulullah saw dalam keadaan terancam dengan maut. Pada saat gawat tersebut diceritakan oleh Nabi saw kepada para sahabat bahawa Nusaibahlah yang paling sibuk berlawan membela aku. Nusaibah menderita dengan 12 luka terkena panah dan pedang. "Ya Allah, jadikanlah mereka ini teman-temanku di syurga kelak" doa Nabi untuk Nusaibah serta keluarganya. Masya-Allah... pengorbanan yang Nusaibah lakukan adalah kerana kecintaannya terhadap Rasulullah.
Marilah kita sama-sama kita melaksanakan pengorbanan yang mulia tidak kira harta, wang ringgit, tenaga mahupun masa yang Allah pinjamkan sementara untuk kita gunakan bagi mengumpulkan bekalan akhirat. Kehidupan dunia hanyalah modal kita, kita kena fikirkan bagaimana nak menjana modal yang kita ada supaya dapat memberikan pulangan yang lumayan. Ingatlah matlamat kita hanyalah MARDHOTILLAH (redha Allah), itulah pulangan yang lumayan bagi orang-orang beriman.
No comments:
Post a Comment