Wednesday, December 7, 2011

VISA

Baru-baru ini, banyak kematian dikhabarkan kepada kita. Sama-samalah kita mengambil hikmah dari kematian tersebut. Kehidupan kita di dunia ini hanyalah sementara. Satu analogi yang Hasan Al-Banna gambarkan dalam wasiat ke-10 beliau ialah hidup di dunia ini umpama satu pelancongan ke negara asing.

Hidup kita di dunia ini samalah keadaanya dengan satu pelancongan yang dilakukan oleh seseorang ke negara asing. Beliau membawa bersamanya visa yang mengizinkannya masuk negeri itu dan juga menunjukkan tempoh masa beliau dibenarkan tinggal di negeri itu. Apabila tempoh itu habis, beliau mestilah meninggalkan negeri berkenaan. Walau bagaimanapun, di samping persamaan ini terdapat perbezaan antara kewujudan kita dalam kehidupan dunia ini dengan kehidupan seorang pelancong di negeri orang. Kita tinjau dari sudut permulaan dan kesudahan kedua-duanya. Kedua-duanya sama di sudut permulaan, yang mana permulaan hidup kita di dunia membawa visa untuk hidup di dunia pada hari kita dilahirkan, tetapi kita tidak mengetahui tempoh yang kita dibenarkan berada di dunia ini, iaitu hari kita mati, kerana umur manusia hanyalah terbatas antara dua hari iaitu hari lahir dan hari mati. Perintah keluar dari kehidupan di dunia di saat kematian berbeza dari perintah keluar dari negara asing. Pertama, perintah keluar dari kehidupan dunia tidak diketahui, boleh jadi sudah hampir atau boleh jadi masih jauh. Kedua, perintah keluar dari dunia tidak boleh diubah, visa hidup di dunia tidak boleh dipendekkan atau dipanjangkan. Tempoh visa di dunia adalah muktamad. 

Ingatlah visa hidup tidak boleh diperbaharui. Sama-samalah kita manfaatkan tempoh masa yang kita miliki sekarang ini sebaiknya.

No comments: